Nota: Artikel ini ditulis khusus untuk menjawab tohmahan sesetengah orang yang mendakwa bahawa orang yang tidak membaca bismillah secara jahar dalam solat adalah tidak mengikut mazhab Shafi’i. Lebih teruk lagi, ada sesetengah golongan secara semborono menuduh sesiapa yang mendiamkan bacaan bismillah dalam solat sebagai “Wahhabi”. Jika begitu, maka ramailah rupa-rupanya ulama-ulama muktabar termasuk Imam an-Nawawi juga Wahhabi? Sila baca artikel di bawah dengan minda dan dada terbuka, dan ikhlas untuk mencari kebenaran. Allaahu a’lam.
Untuk menjelaskan secara terperinci mengenai masalah ini adalah suatu perkara yang akan mengambil masa dan rumit. Hal ini disebabkan wujudnya pelbagai dalil, hujah, dan ijtihad para ulama yang tidak mungkin dapat diutarakan dalam ruang dan masa yang terhad ini. Maka di sini akan dinyatakan secara ringkas mengenai dalil-dalil dan hujah-hujah utama berkenaan dengan perkara di atas, insya Allah.
Menurut Al-Hafizh Ibn Katsir rahimahullah (700 – 774 H), seorang imam besar, ahli tafsir, dan antara ulama agung bermazhab Shafi’i, ulama-ulama bersepakat bahawa kalimah بسم الله الرحمن الرحيم Bismillahirrahmaanirrahiim (Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang), adalah salah satu ayat dalam Surah An-Naml (iaitu ayat ke-30).[1] Kemudian mereka berbeza pendapat dalam perkara-perkata berikut:[2]
Adakah basmalah merupakan ayat tersendiri yang diletakkan pada setiap awal surah? Atau
Merupakan bahagian awal surah yang ditulis pada awalnya? Atau
Sebahagian daripada setiap surah yang tuliskan pada awal surah? Atau
Sebahagian daripada Surah Al-Faatihah sahaja, tetapi tidak pada surah lain? Atau
Pemisah antara surah-surah, dan bukan ayat Al-Quran? Dan pendapat ini, antara pendapat-pendapat ulama salaf dan khalaf, adalah yang paling disukai daripada yang tersebut di atas.
Daripada kata-kata Ibn Katsir rahimahullah ini, dapat kita ketahui bahawa jumhur ulama berpendapat bahawa basmalah hanyalah pemisah atau pembatas antara surah-surah dalam Al-Quran, dan bukan ayat Al-Quran itu sendiri. Dan pendapat ini merupakan pendapat yang menjadi favorite di kalangan ulama salaf (terdahulu) mahupun khalaf (terkemudian). Dan kita juga mengetahui, bahawa Ibn Katsir adalah salah seorang ulama bermazhab Shafi’i.
Dalam kitab Tafsir Ibn Katsir juga dinukilkan daripada Sunan Abu Dawud, dengan isnad yang sahih, daripada Ibn ‘Abbas radhiyallaahu ‘anhuma:
أن رسول الله صلى الله عليه وسلم كان لا يعرف فصل السورة حتى ينزل عليه { بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ
Maksudnya: “Bahawa Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam tidak tahu pemisah antara surah sehinggalah turun kepadanya Bismillaahirrahmaanirrahiim.”[3]
Menurut pengarang kitab ‘Awn Al-Ma’buud, syarah kepada kitab Sunan Abu Dawud, hadith ini menjadi dalil bahawa basmalah adalah sebahagian daripada ayat-ayat Al-Quran.[4]
Di dalam kitab ‘Awn Al-Ma’buud juga dinukilkan:[5]
والاستدلال بهذا الحديث وكذا بكل حديث يدل على أن البسملة من القرآن على الجهر بها في الصلاة ليس بصحيح . قال الحافظ ابن سيد الناس اليعمري : لأن جماعة ممن يرى الجهر بها لا يعتقدونها قرآنا . بل هي من السنن عندهم كالتعوذ والتأمين ، وجماعة ممن يرى الإسرار بها يعتقدونها قرآنا . ولهذا قال النووي : إن مسألة الجهر ليست مرتبة على إثبات مسألة البسملة . وكذلك احتجاج من احتج بأحاديث عدم قراءتها على أنها ليست بآية لما عرفت.
Maksudnya: “Dan pendalilan hadith ini dan begitu juga dengan setiap hadith yang menjadi dalil bahawa al-basmalah adalah sebahagian daripada Al-Quran sebagai hujah men’jahar’kan (menguatkan) bacaan basmalah dalam solat adalah tidak sahih. Berkata Al-Hafizh Ibn Sayyid An-Naas Al-Ya’mariy: Ini kerana ramai (ulama) yang berpandangan men’jahar’kan (menguatkan) bacaan basmalah (dalam solat) tidak mempercayai bahawa basmalah adalah ayat Al-Quran. Bahkan, (mereka berpendapat) ia adalah antara sunnat-sunnat dalam solat, seperti bacaan ta’awudz dan amin. Dan ramai daripada golongan yang berpandangan bahawa bacaan basmalah di’sir’kan (disenyapkan atau dilembutkan) mempercayai bahawa basmalah adalah sebahagian daripada Al-Quran.
Dan dalam hal ini, An-Nawawi (ulama besar mazhab Shafi’i) berkata: Sesungguhnya masalah atau perkara tentang menguatkan bacaan basmalah bukanlah peraturan dalam penetapan perkara basmalah. Dan demikian, menjadi hujah bagi orang-orang yang berhujah dengan hadits-hadits yang meniadakan (menghilangkan) bacaan basmalah atas alasan bahawa ia bukan daripada ayat-ayat Al-Quran.
Daripada kenyataan ulama di atas, maka dapat kita ambil beberapa isi penting:
a) Majoriti ulama yang berpendapat bahawa basmalah adalah sebahagian daripada ayat-ayat Al-Quran, berdalil dengan tidak menjaharkan bacaan basmalah dalam solat.
b) Majoriti ulama yang berpendapat bahawa basmalah adalah bukan sebahagian daripada ayat-ayat Al-Quran, berdalil dengan menjaharkan bacaan basmalah dalam solat. Walaubagaimanapun, mereka berpendapat bahawa hukumnya sunnat, bukan wajib.
c) Imam An-Nawawi rahimahullah, sebagai seorang ulama mazhab Shafi’i yang tersohor dan cukup terkenal di serata dunia, lebih-lebih lagi di Nusantara ini, dengan kitab-kitabnya yang muktabar seperti Riyadh As-Salihin dan Hadith 40 An-Nawawi, mengatakan bahawa masalah menguatkan bacaan basmalah dalam solat adalah bukan antara peraturan atau tertib dalam hal mengenai basmalah ini.
Ini membuktikan, bahawa, jika seseorang tidak menguatkan bacaan basmalah dalam solat, tidak bermakna dia meninggalkan terus bacaan basmalah, dan tidak juga semestinya menunjukkan bahawa dia tidak meyakini bahawa basmalah adalah sebahagian daripada ayat-ayat Al-Quran.
Dalam kitab Al-Umm, kitab induk fiqh mazhab Shafi’i yang terulung, – sebahagian ulama yakin bahawa kitab ini dikarang sendiri oleh Al-Imam Ash-Shafi’i (150 – 204 H), dan ada yang berpendapat kitab ini dikarang oleh anak muridnya, Ar-Rabi’ bin Sulaiman. Apa-apa pun, hampir keseluruhan kitab ini mengandungi kata-kata Al-Imam Ash-Shafi’i rahimahullah – masalah tentang bacaan basmalah dalam solat ini juga turut disentuh.
Dalam kitab tersebut, disebutkan:[6]
أخبرنا الربيع قال أخبرنا الشافعي قال أخبرنا سفيان عن أيوب بن أبى تميمة عن قتادة عن أنس قال كان النبي صلى الله عليه وسلم وأبو بكر وعمر يستفتحون القراءة بالحمد لله رب العالمين (قال الشافعي) يعنى يبدءون بقراءة أم القرآن قبل ما يقرأ بعدها والله تعالى أعلم لا يعنى أنهم يتركون بسم الله الرحمن الرحيم
Maksudnya: “Diberitakan kepada kami oleh Rabi’, dia berkata; diberitakan kepada kami oleh Ash-Shafi’i, ia berkata; diberitakan kepada kami oleh Sufyan, daripada Ayub bin Abi Tamimah, daripada Qatadah, daripada Anas, dia berkata: Adalah Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam, Abu Bakr, dan ‘Umar memulakan bacaan dengan ‘Alhamdulillahi Rabbil’alamiin’.”[7] Berkata Ash-Shafi’i, mereka memulakan dengan bacaan Ummul Qur`an (Al-Faatihah) sebelum dibaca yang sesudahnya. Allah Lebih Mengetahui. Namun, ini tidak bermakna mereka meninggalkan bacaan Bismillaahirrahmaanirrahiim.
Al-Imam Ash-Shafi’i berpegang dengan pendapat yang mengatakan bahawa basmalah adalah sebahagian daripada Surah Al-Faatihah. Menurut Ash-Shafi’i, bismillaahirrahmaanirrahiim itu adalah ayat yang ketujuh.[8] Kalau ditinggalkan kesemuanya atau sebahagian, nescaya tidak memadai baginya rakaat yang ditinggalkan membacanya.[9] Dalam kitab itu juga dinyatakan, bahawa Ar-Rabi’ mengatakan: dikhabarkan kepada kami oleh Ash-Shafi’i yang mengatakan: dikhabarkan kepada kami oleh Muslim bin Khalid dan Abdul Majid, daripada Ibn Juraij, daripada Nafi’, daripada Ibn ‘Umar, bahawa ia tidak meninggalkan Bismillaahirrahmaanirrahiim bagi Ummul Qur`an dan bagi surah yang sesudahnya. Maka Ash-Shafi’i mengatakan “ini lebih saya sukai, kerana dia ketika itu memulakan bacaan Al-Quran.[10]
Walaubagaimanapun, kitab ini tidak menyebutkan pandangan Ash-Shafi’i mengenai masalah ‘jahar’ atau ‘sir’ bacaan basmalah. Namun begitu, ada dinukilkan riwayat tentang Mu’awiyah yang mengimamkan solat berjemaah di Madinah, di mana dia menjaharkan bacaan basmalah sebelum Al-Faatihah dalam rakaat yang pertama, tetapi tidak membaca basmalah sebelum memulakan bacaan surah berikutnya. Maka perbuatan Mu’awiyah ini ditegur oleh orang-orang. Saya mendapati, riwayat ini dimasukkan ke dalam perbahasan tentang basmalah ini sebagai hujah untuk membaca basmalah pada setiap permulaan surah dalam solat, dan bukannya tentang masalah ‘jahar’ atau ‘sir’. Wallaahu a’lam.
Pun begitu, dalam Tafsir Al-Azhar, disebutkan bahawa membaca secara ‘jahar’ merupakan pegangan mazhab Imam Ash-Shafi’i.[11]
Kitab Bulughul Maram – kitab muktabar yang mengumpulkan dalil-dalil fiqh mazhab Shafi’i yang masyhur, karangan Al-Hafizh Ibn Hajar Al-‘Asqalani rahimahullah, juga seorang imam besar dalam mazhab Shafi’i, turut merekodkan riwayat-riwayat berkenaan dengan bacaan basmalah.
Satu riwayat, yang sama lafaz dan maknanya sepertimana atsar yang telah disebutkan di atas, daripada Anas radhiyallaahu ‘anhu menyebutkan:[12]
أن النبي صلى الله عليه وسلم وأبا بكر وعمر وعثمان كانوا يفتتحون القراءة بالحمد لله رب العالمين
Maksudnya: “bahawasanya Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam, Abu Bakr, dan ‘Umar memulai sembahyang dengan bacaan Alhamdulillaahi Rabbil’alamiin.” (Muttafaqun ‘alayh – dipersetujui kesahihannya oleh Bukhari dan Muslim).
Disebutkan dalam kitab tersebut, Imam Muslim telah menambah: mereka tidak menyebut Bismillaahirrahmaanirrahiim pada awal bacaan mahupun akhirnya.[13]
Dan dalam satu riwayat daripada Ahmad, Nasa`i dan Ibn Khuzaymah: Mereka tidak membaca dengan kuat Bismillaahirrahmaanirrahiim.[14]
Dan dalam riwayat daripada Ibn Khuzaymah: Mereka membaca Bismillaahirrahmaanirrahiim dengan suara yang lembut.[15] Berdasarkan riwayat ini, dapat ditakwilkan kepada riwayat yang meniadakan membacanya sepertimana dalam riwayat Imam Muslim.
Maka dapat kita simpulkan di sini bahawa:
Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam, Abu Bakr, dan ‘Umar membaca basmalah dalam solat dengan suara yang lembut. Hal ini mungkin menyebabkan Anas tidak mendengar bacaan basmalah mereka, kerana yang hanya kedengaran pada permulaan ialah Alhamdulillaahi Rabbil’alamiin.
Ini menjadi dalil bahawa bacaan basmalah dalam solat adalah secara ‘sir’ (senyap), sepertimana juga bacaan doa iftitah dan isti’aadzah.
Anas merupakan khadam Rasulullah selama sepuluh (10) tahun lamanya,[16] maka dia lebih rapat dan lebih arif tentang sifat solat Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam. Jika Rasulullah membaca basmalah secara jahar, sudah tentu Anas akan menyebut yang demikian. Namun begitu, terdapat juga riwayat daripada Anas sendiri yang bertentangan antara satu sama lain, seperti yang dinyatakan oleh Prof. HAMKA dalam Tafsir Al-Azhar.
Prof. Dr. Abdulmalik bin Abdulkarim Amrullah, atau lebih dikenali dengan nama panggilan Prof. HAMKA, dalam kitab tafsirnya, Tafsir Al-Azhar, turut membincangkan mengenai masalah ini. Berikut merupakan dalil-dalil dan hujah-hujah bagi yang berpegang dengan ‘jahar’nya bacaan basmalah dalam solat:[17]
Sebuah hadits yang diriwayatkan secara jemaah daripada sahabat-sahabat, antaranya ialah Abu Hurayrah dan isteri Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam, Ummu Salamah: Bahawasanya Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam menjaharkan bacaan Bismillaahirrahmaanirrahiim.
Riwayat daripada Na’im bin Abdullah al-Mujmar. Dia berkata: “Aku telah sembahyang di belakang Abu Hurayrah. Aku dengar dia membaca Bismillaahirrahmaanirrahiim, setelah itu dibacanya pula Ummul Qur`an. Setelah selesai sembahyang, dia pun mengucapkan salam lalu berkata kepada kami:
اني لأشبهكم صلاة برسول الله صلى الله عليه وسلم
Maksudnya: “Sesungguhnya akulah yang paling mirip solatnya dengan solat Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.”
Hadits ini dirawikan oleh An-Nasa`i dan Ibn Khuzaymah dalam sahihnya. Lalu disambungnya, “Adapun jahar Bismillaahirrahmaanirrahiim itu maka sesungguhnya telah sabit dan sah daripada Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam.” Hadits ini pula diriwayatkan oleh Ibn Hibban dan al-Hakim atas syarat Bukhari dan Muslim. Dan berkata Al-Bayhaqi: “Sahih isnadnya.”
Diriwayatkan daripada Ad-Daruquthni, daripada Abu Hurayrah: “Adalah beliau (Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam) apabila membaca ketika mengimami manusia, dibukanya dengan Bismillaahirrahmaanirrahiim.”
Ad-Daruquthni mengatakan bahawa isnad hadits ini semuanya boleh dipercayai.
Tetapi, menurut Prof. Dr. HAMKA, apabila kita selidiki lebih mendalam, seperti yang telah dilakukan oleh Imam Ash-Shawkani dalam kitab Nailul Awthaar, setiap hadits yang menjadi pegangan bagi golongan yang men’jahar’kan itu ada sahaja Naqd (kritikan) terhadap perawinya, sehinggakan yang betul-betul daripada kritikan langsung tidak ada. At-Tirmidzi pernah mengatakan: “Isnadnya tidaklah sampai demikian tinggi nilainya.”
Berikut pula merupakan dalil bagi golongan yang mengatakan bahawa bacaan basmalah dalam solat adalah ‘sir’ (senyap):
Diriwayatkan daripada Muslim dalam Sahihnya (No. 605), An-Nasa`i dalam Sunannya (No. 897), Ahmad dalam Musnadnya (No. 12,345; 13,386; dan 19,637), dengan lafaz daripada Muslim; daripada Anas:
صليت مع رسول الله صلى الله عليه وسلم وأبي بكر وعمر وعثمان فلم أسمع أحدا منهم يقرأ بسم الله الرحمن الرحيم
Maksudnya: “Aku telah solat bersama Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam, Abu Bakr, ‘Umar, dan ‘Utsman. Maka aku tidak pernah mendengar seorang pun daripada mereka membaca Bismillaahirrahmaanirrahiim.”
Ibn Khuzaymah meriwayatkan atsar di atas dengan tambahan: “Mereka semuanya membaca dengan ‘sir’.”[18]
Walaubagaimanapun, setelah menyatakan hujah-hujahnya, Prof. HAMKA sendiri cenderung kepada pendapat yang men’jahar’kan bacaan basmalah dengan bersandarkan satu lagi atsar daripada Anas yang bertentangan dengan riwayat membaca basmalah secara ‘sir’ tadi.
Dapat disimpulkan di sini, daripada keterangan-keterangan dalam kitab Tafsir Al-Azhar, bahawa terdapat perbezaan pendapat yang ketara antara para sahabat, tabiin, dan para ulama secara umumnya. Kedua-dua golongan, yang men’jahar’kan dan men’sir’kan bacaan basmalah, mempunyai dalil-dalil dan hujah-hujah yang sama-sama kuat. Pendapat saya, dalil yang mengatakan tidak men’jahar’kan basmalah adalah lebih kuat. Ini dikuatkan lagi dengan keterangan daripada muhaddits abad ini, Syeikh Nasiruddin Al-Albani rahimahullah dalam kitabnya yang terkenal, iaitu Sifat Solat Nabiyi sallallaahu ‘alayhi wa sallam min Al-Takbiir ilaa At-Tasliim ka`annaka taraahaa (Sifat Solat Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam daripada takbir hingga salam seolah-olah engkau melihatnya). Beliau mengambil pendapat yang men’sir’kan bacaan basmalah. Siapa lebih tahu dan faham tentang hadits-hadits Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam kalau bukan ahli hadits (muhaddits)?
Rumusan:
Perkara membaca basmalah dengan ‘jahar’ atau ‘sir’ merupakan perkara khilafiyah, kerana terdapat dalil-dalil yang menjadi hujah kedua-dua pendapat. Bahkan, kedua-dua dalil sama-sama kuat. Malahan, menurut Prof. HAMKA, terdapat dua riwayat yang bertentangan antara satu sama lain yang diriwayatkan daripada seorang sahabat![19] Sebab itulah masalah ini termasuk masalah khilafiyah, atau masalah ijtihadiyah, iaitu terserah kepada pertimbangan ijtihad pakar masing-masing. Dalam hal ini, marilah sama-sama kita menggunakan kaedah yang digunapakai dalam ilmu usul fiqh yang terkenal:
الإجتهاد لا يُنقد بالإجتهاد
Maksudnya: “Suatu ijtihad tidak dapat disalahkan oleh ijtihad yang lain.”[20]
Mazhab Shafi’i, sungguhpun berpendapat bahawa Basmalah merupakan sebahagian daripada Surah Al-Faatihah, dan berpegang dengan ijtihad yang mengatakan bahawa bacaan basmalah adalah ‘jahar’, merupakan mazhab yang berlapang dada dalam hal ini. Malahan, seperti yang telah disebutkan, Imam An-Nawawi, seorang ulama besar mazhab Shafi’i, turut mengatakan bahawa masalah ‘jahar’ atau ‘sir’ dalam bacaan basamalah bukanlah sebahagian daripada permasalahannya. Ibn Hajar Al-‘Asqalani yang juga bermazhab Shafi’i juga turut merekodkan dalil dengan bacaan basmalah secara ‘sir’ di dalam kitab Bulughul Maramnya.
Oleh sebab wujudnya perbezaan pendapat yang ketara dalam hal ini, maka Ibn Qayyim Al-Jawziyah (691 – 751 H), dalam kitabnya, Zaad Al-Ma’aad, menyebutkan:[21]
وَكَانَ يَجْهَرُ بِبِسْمِ اللّهِ الرّحْمَنِ الرّحِيمِ تَارَةً وَيُخْفِيهَا أَكْثَرَ مِمّا يَجْهَرُ بِهَا دَائِمًا فِي كُلّ يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ خَمْسَ مَرّاتٍ أَبَدًا حَضَرًا وَسَفَرًا وَيَخْفَى ذَلِكَ عَلَى خُلَفَائِهِ الرّاشِدِينَ وَعَلَى جُمْهُورِ أَصْحَابِهِ وَأَهْلِ بَلَدِهِ فِي الْأَعْصَارِ الْفَاضِلَةِ هَذَا مِنْ أَمْحَلِ الْمُحَالِ حَتّى يَحْتَاجَ إلَى التّشَبّت فِيهِ بِأَلْفَاظٍ مُجْمَلَةٍ وَأَحَادِيثَ وَاهِيَةٍ فَصَحِيحُ تِلْكَ الْأَحَادِيثِ غَيْرُ صَرِيحٍ وَصَرِيحُهَا غَيْرُ صَحِيحٍ
Maksudnya: “Dan adalah (Rasulullah) men’jahar’kan bacaan Bismillaahirrahmaanirrahiim sekali sekala dan menyembunyikan (memperlahankan)nya lebih kerap daripada mengeraskannya. Dan tidaklah dia men’jahar’kannya lima kali setiap hari dan malam selama-lamanya, sama ada ketika di kota dan ketika musafir. Dan tersembunyilah perkara tersebut daripada Khulafa` Ar-Raashidiin dan daripada jumhur (majoriti) sahabat-sahabatnya dan ahli negaranya yang sezamannya yang utama itu. Ini merupakan kedangkalan yang paling dangkal sekali sehinggakan orang-orang bergantung pada kata-kata yang mujmal (ringkasan) dan hadits-hadits yang lemah. Meskipun hadits-hadits tersebut sahih, namun tidaklah sarih (jelas atau nyata), dan walaupun ia sarih, tidak semestinya ia sahih.”
Prof. HAMKA turut menukilkan kata-kata Al-Imam Ash-Shawkaaniy dalam kitabnya Nailul Awthaar:[22]
“Dalam soal ikhtilaf (perkara ‘jahar’ atau ‘sir’ basmalah) ini, paling banyak hanyalah khilafiyah dalam soal Mustahab atau Masnuun (yang disukai atau sunnat). Maka tidaklah soal men’jahar’kan atau men’sir’kan bacaan ini merosakkan sembahyang atau membatalkannya. (Telah menjadi) ijmak ulama bahawa soal ‘sir’ dan ‘jahar’ itu tidaklah membatalkan sembahyang. Oleh sebab itu, janganlah engkau terpesona pula mengikuti sesetengah ulama yang memperbesar-besarkan soal ini dan menggembar-gemburkan khilafiyahnya, sehingga sesetengah mereka itu memandangnya sebagai satu soal yang menyentuh iktikad.” Maka, seseorang bolehlah memilih sama ada mahu membaca basmalah dalam solat secara ‘jahar’ (dalam solat jahriyah) ataupun ‘sir’ (dalam solat jahariyah mahupun sirriyah).
Perbezaan pendapat dalam dunia Islam adalah suatu rahmat. Ia memupuk budaya diskusi, toleransi, saling berkongsi pengetahuan, bertukar-tukar pendapat, dan idea. Khilafiyah ini merupakan satu rahmat, kerana Islam adalah sesuai pada setiap masa, tempat, individu, dan keadaan semasa. Wujudnya khilafiyah menjadikan Islam sebagai agama yang tidak rigid dan bebas daripada kejumudan pemikiran. Dan tidak sepatutnya perkara khilafiyah berkenaan bacaan basmalah ini menjadi isu yang dibesar-besarkan di kalangan umat Islam. Maka seseorang yang suka membacakan basmalah secara ‘jahar’, janganlah sehingga memaksa atau terlalu berkeras menyuruh orang lain mengikuti pendapatnya, begitu juga sebaliknya. Hal sedemikian tidak sepatutnya berlaku dalam kalangan umat Islam yang berilmu dan menyukai untuk mengamalkan ilmu serta menikmati keluasan fiqh dalam Islam. Wallaahu Ta’aalaa A’lam.
[1] Abu Al-Fida` Ismail Ibn Katsir, Tafsir Al-Qur`aan Al-‘Azhiim, Daar Thayyibah Li An-Nashr wa At-Tawzii’, 1999, hlm. 1/116.
[2] Ibid.
[3] Ibid.; dan direkodkan oleh Abu Dawud dalam Sunannya (Hadith No. 669). Hadith ini disahihkan oleh Hakim menurut syarat-syaratnya.
[4] ‘Awn Al-Ma’buud, hlm. 2/292.
[5] Ibid.
[6] Muhammad bin Idris Ash-Shafi’i, Al-Umm, Daar Al-Fikr, Beirut, 1983, hlm. 1/129; dan juga edisi terjemahan oleh Ismail Yakub, Al-Umm (Kitab Induk) Karangan Al-Imam Asy-Syafi’i, C.V. Faizan, Semarang, 1980, Jld. 1, hlm. 254.
[7] Atsar di atas juga turut diriwayatkan oleh An-Nasa`i dalam As-Sunan Al-Kubra No. 976 dan Ibn Khuzaymah dan Sahih Ibn Khuzaymah No. 480. Dalam Sahih Ibn Khuazymah, dinyatakan pendapat bahawa berkemungkinan Anas tidak mendengar bacaan basmalah mereka kerana ketiga-ketiga mereka membacakan basmalah secara ‘sir’, dan tidak menjaharkannya. Jika mereka menjaharkan, sudah tentulah Anas akan mengatakan mereka memulai bacaan dengan basmalah. Allah Lebih Mengetahui.
[8] Muhammad bin Idris Ash-Shafi’I (terj.), op. cit., Jld. 1, hlm. 255.
[9] Ibid.
[10] Ibid.
[11] Abdulmalik bin Abdulkarim Amrullah (selanjutnya disebut HAMKA), Tafsir Al-Azhar, Yayasan Nurulislam, Jakarta, 1984, Jld. 1, hlm. 92.
[12] Ibn Hajar Al-‘Asqalani, Bulughul Maram: Terjemahan Melayu, diterjemahkan oleh Muhammad Idris Al-Marbawi, Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru, 2008, hlm. 92 – 93.
[13] Ibid., hlm. 93.
[14] Ibid.
[15] Ibid.
[16] HAMKA, op. cit., Jld. 1, hlm. 95.
[17] Ibid., Jld. 1, hlm. 92 – 97.
[18] Ibid., Jld. 1, hlm. 95.
[19] Ibid., Jld. 1, hlm. 97.
[20] Ibid.
[21] Ibid.; dan dalam Ibn Qayyim Al-Jawziyah, Zaad Al-Ma’ad, hlm. 199 – 200.
[22] HAMKA, op. cit., Jld. 1, hlm. 97.; dan Ash-Shawkaaniy, Nailul Awthaar, hlm. 3/341.
sumber asal : http://sufrimahmudalmiri.wordpress.com/2011/03/25/penjelasan-tentang-hukum-membaca-bismillah-basmalah-sebelum-surah-al-fatihah-dalam-solat/#comment-15
0 Comments