Hidayatush Shibyan adalah sebuah kitab kecil yang pada asalnya dikarang dan dicetak dalam bahasa melayu lama dalam tulisan jawi. Kitab ini sangat terkenal yang mana ianya diajarkan dipondok-pondok pengajian tradisional sekitar nusantara samada di Malaysia mahupun di Indonesia.
Bersesuaian dengan nama kitab ini iaitu "Petunjuk Bagi Yang Baru Belajar Mengenal Islam dan Iman, isi kandungan kitab ini membicarakan asas-asas ilmu fardhu 'ain seperti masalah iktiqad dan ibadat seperti asas ilmu tauhid didalam rukun Iman dan asas ilmu fiqh seperti yang terkandung didalam rukun Islam.
Kitab ini adalah hasil buah tangan dari seorang Ulama keturunan banjar yang sangat alim iaitu Sheikh Abu Abdullah Husain Nashir Bin Muhammad Thaib Al-Mas'udi Al-Banjari dan kitab ini telah selesai penulisannya pada hari Isnin, 18hb Muharram 1330 Hijrah bersamaan dengan 08hb Januari 1912 Masihi.
Penulis kitab ini yang mana beliau lebih dikenali dengan panggilan Tuan Guru Husein Kedah adalah anak kepada Syeikh Muhammad Thaib al-Mas'udi al-Banjari yang merupakan keturunan ulama besar banjar Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari. Beliau lahir di Titi Gajah, Alor Setar, Kedah, pada hari Ahad 20 Jamadilawal 1280 Hijrah bersamaan 2 November 1863 Masihi dan meninggal dunia pada hari Isnin 18 Zulkaedah 1354 Hijrah bersamaan dengan 10 Februari 1936 Masihi.
Manakala moyang beliau iaitu Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari bin Abdur Rahman al-Banjari pula merupakan seorang ulama yang ternyata memang bukan orang biasa. Beliau adalah cicit Sayid Abu Bakar bin Sayid Abdullah Al-’Aidrus bin Sayid Abu Bakar As-Sakran bin Saiyid Abdur Rahman As-Saqaf bin Sayid Muhammad Maula Dawilah Al-’Aidrus. Silisahnya kemudian sampai pada Sayidina Ali bin Abi Thalib dan Sayyidatina Fatimah binti Rasulullah. Dengan demikian Syaikh Arsyad masih memiliki darah keturunan Rasulullah.
0 Comments