(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda) Melontar jamrah adalah antara perkara-perkara wajib ketika menunaikan ibadat haji di Mekkah. Melontar jamrah itu terbahagi kepada dua iaitu melontar jamrah al-‘Aqabah sahaja pada hari Nahar (10 Zulhijjah) dan melontar ketiga-tiga jamrah iaitu al-Ula, al-Wustha, al-‘Aqabah pada hari-hari Tasyreeq iaitu pada 11, 12, dan 13 Zulhijjah.
Ibadat melontar jamrah dilakukan setelah para jemaah haji selesai mengerjakan wuquf di ‘Arafah. Mereka akan bertolak ke Mina untuk melontar ketiga-tiga jamrah di suatu tempat yang bernama Wadi Mahassar yang terletak di antara Mina dan Muzdalifah.
Namun terdapat perbezaan hukum bagi kedua lontaran pada hari Nahar dan hari-hari Tasyreeq. Banyak persoalan yang telah dihadapi oleh para jemaah haji berhubung dengan perkara yang berkaitan dengan melontar jamrah ini. Antara permasalahan itu ialah:
1. Waktu melontar
Bilakah sebenarnya waktu melontar jamrah al-‘Aqabah pada hari Nahar (10 zulhijjah) dan tiga jamrah (al-Ula, al-Wustha, al-‘Aqabah) pada hari Tasyreeq itu kerana ada di antara jemaah haji melontar pada sebelah pagi atau sebelum tergelincir matahari?
Waktu melontar jamrah al-‘Aqabah pada hari Nahar ialah bermula pada pertengahan malam hari Nahar dan selepas wuquf di ‘Arafah, maka tidak sah jika lontaran itu dilakukan sebelum wuquf di ‘Arafah ataupun sebelum pertengahan malam hari Nahar.
Manakala waktu afdhal melontar pula ialah semasa matahari naik sehingga tergelincir, dan waktu ikhtiar (pilihan) ialah selepas tergelincir matahari sehingga terbenam matahari. Waktu harus melontar pula ialah dari selepas terbenam matahari sehingga akhir hari Tasyreeq.
Waktu melontar tiga jamrah pada hari-hari Tasyreeq (11, 12 dan 13 Zulhijjah) ialah bermula waktu afdhal melontar itu selepas tergelincir matahari sebelum menunaikan sembahyang zohor, waktu ikhtiar melontar pula ialah dari selepas tergelincir matahari sehingga terbenam matahari pada hari tersebut, dan berterusan
waktu harus melontar itu sehingga terbenam matahari pada akhir hari Tasyreeq (13 Zulhijjah).
Amalan melontar jamrah setelah matahari tergelincir pada hari-hari Tasyreeq adalah amalan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam berdasarkan hadits Ibnu Abbas Radhiyallahu ‘anhuma:
Maksudnya: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melontar jamrah-jamrah (Jamrah Ula, Wusta dan al-‘Aqabah) ketika gelincir matahari.”
(Hadits riwayat Ahmad, Ibnu Majah dan at-Tirmidzi)
Maka melontar jamrah sama ada untuk hari Nahar ataupun hari-hari Tasyreeq adalah mengikut urutan waktu yang telah dijelaskan. Lontaran tidaklah dikira sah jika dilakukan bukan pada waktunya.
Melontar pada sebelah pagi sebelum tergelincir matahari Jika lontaran yang dilakukan pada sebelah pagi sebelum tergelincir matahari itu ialah lontaran jamrah al-‘Aqabah pada hari Nahar maka lontaran itu adalah sah kerana ia dilakukan dalam waktu yang telah ditetapkan iaitu bermula pada pertengahan malam hari
Nahar sehinggalah akhir Hari Tasyreeq.
Namun jika lontaran yang dilakukan pada sebelah pagi sebelum tergelincir matahari itu ialah lontaran di ketiga-tiga jamrah pada hari Tasyreeq maka lontaran itu tidaklah sah melainkan lontaran qadha sahaja. Ini adalah mengikut pendapat yang muktamad bahawa melontar di ketiga-tiga jamrah pada hari-hari Tasyreeq
sebelum tergelincir matahari adalah ditegah melainkan lontaran qadha sepertimana dikatakan oleh Syeikh Muhammad Tahir bin Abdul Qadir al-Kurdi al-Makki Rahimahullah Ta‘ala:
“Dan yang muktamad adalah harus melontar jamrah sebelum tergelincir matahari atau malam hari bagi mengganti lontaran yang luput, berbeza dengan lontaran untuk hari berkenaan adalah ditegah mendahulukan melontar sebelum matahari tergelincir.”
Jadi diharuskan melontar pada sebelah pagi sebelum tergelincir matahari pada hari-hari Tasyreeq hanya untuk mengganti (mengqadha) lontaran yang luput pada hari-hari yang sebelumnya.
Untuk lebih jelas lagi, sekiranya jamrah al-‘Aqabah tidak dilontar pada hari Nahar, ia boleh diganti dengan melontarnya pada bila-bila masa pada hari-hari Tasyreeq termasuk pada sebelah pagi sebelum matahari tergelincir, begitu juga jika ketiga-tiga jamrah pada hari pertama atau kedua hari Tasyreeq tidak dilontar, lontaran boleh diganti pada bila-bila masa pada akhir hari Tasyreeq termasuk sebelah pagi sebelum matahari tergelincir.
Dengan itu boleh melontar pada sebelah pagi sebelum matahari tergelincir pada hari-hari Tasyreeq untuk lontaran qadha sahaja.
Namun cara melaksanakan lontaran yang luput itu hendaklah secara tertib. Iaitu dengan mendahulukan lontaran yang telah luput itu terlebih dahulu kemudian baharulah lontaran untuk hari berkenaan. Jika melakukan lontaran untuk hari berkenaan terlebih dahulu kemudian baharulah mengadha lontaran yang luput itu maka lontaran itu hanya dikira sebagai lontaran qadha sahaja.
Maknanya lontaran pada hari itu tidaklah dikira kerana tidak mengikut secara tertib. Secara praktikalnya lontaran secara tertib itu adalah seperti berikut, jika lontaran yang luput itu ialah lontaran hari Tasyreeq yang
pertama maka cara melaksanakan lontaran yang luput itu pada keesokkan harinya ialah dengan mendahulukan lontaran yang luput itu bermula dari jamrah al-Shugra, jamrah al-Wustha dan jamrah al-‘Aqabah. Kemudian diulang lagi lontaran itu untuk lontaran pada hari itu (hari Tasyrie kedua) dengan mendahulukan lagi lontaran dari jamrah al-Shugra, jamrah al-Wustha dan jamrah al- ‘Aqabah.
Namun jika lontaran yang luput dan lontaran untuk hari berkenaan itu tidak dilakukan secara tertib, tetapi dilakukan secara serentak bagi setiap jamrah iaitu sebanyak empat belas kali lontaran, tujuh kali bagi lontaran yang luput dan tujuh kali bagi lontaran pada hari berkenaan, lontaran yang hanya dikira adalah lontaran qadha sahaja. Sementara lontaran untuk hari berkenaan tidak dikira.
Melontar selepas hari Tasyreeq
Melontar selepas hari-hari Tasyreeq adalah tidak sah dan wajib bagi orang yang melakukannya membayar dam apabila dia meninggalkan tiga lontaran atau lebih daripada lontaran itu. Sepertimana yang dikatakan oleh al-‘Alamah as-Sayyid Muhammad Abdullah al-Jardani Rahimahullahu Ta‘ala:
Ertinya: “Bahkan dimestikan diwajibkan baginya (dam) dengan meninggalkan tiga lontaran ataupun lebih banyak.”
Begitu juga sepertimana yang dikatakan oleh Syeikh Muhammad Tahir bin Abdul Qadir al-Kurdi al-Makki Rahimahullahu Ta‘ala
Ertinya: "Tidak sah melontar selepas hari-hari Tasyrie pada asasnya, bahkan dimestikan membayar dam jika tinggal lontaran sebanyak tiga atau lebih."
Maka jelaslah jika lontaran hari Nahar dan hari-hari Tasyreeq dilakukan selepas terbenamnya matahari pada hari tasyrie yang terakhir iaitu 13 Zulhijjah maka lontaran itu adalah tidak sah. Maka orang yang meninggalkan sebanyak tiga lontaran ataupun lebih adalah wajib membayar dam.
0 Comments