Bahagian Kedua : Permasalahan Melontar Jamrah

2. Tempat mengambil anak batu untuk melontar


Dimanakah tempat mengambil anak batu untuk digunakan melontar jamrah al-‘Aqabah pada hari Nahar dan di ketiga-tiga jamrah pada hari Tasyreeq?

Pada dasarnya tempat mengutip batu untuk keperluan melontar jamrah yang diperkatakan oleh ulama-ulama fiqh mazhab asy-Shafi‘i ada dua: Tanah Haram dan Tanah Halal.

Tanah Haram merangkumi Muzdalifah, Wadi Muhassar, kawasan kota Mina, kawasan jamrah dan lobang jamrah, serta mana-mana kawasan tanah haram seperti kota Makkah.

Tanah Halal pula ialah seluruh kawasan yang berada di luar kawasan tanah haram seperti Padang ‘Arafah, Jeddah dan Brunei Darussalam.

Jika yang diambil kira itu ialah hukum dan afdhaliyyah (keutamaan) melontar, maka caranya adalah sepertimana yang dikatakan oleh Syeikh Muhammad Tahir bin Abdul Qadir al-Kurdi al-Makki Rahimahullahu Ta‘ala di dalam kitab beliau Irsyad az-Zumar Li Manasik al-Hajj wal-‘Umrah adalah seperti berikut:

i. Sunat: Sunat mengutip anak batu di kawasan Muzdalifah untuk lontaran ke Jamrah al-‘Aqabah sahaja pada Hari Nahar (10 Zulhijjah). Manakala untuk lontaran di ketiga-tiga Jamrah pada hari-hari Tasyreeq sunat diambil di kawasan Wadi Muhassar (yang terletak di antara Muzdalifah dan Mina), atau mana-mana tempat di kota Mina.

ii. Makruh: Mengutip anak-anak batu dari mana-mana tempat selain tempat yang disunatkan mengambilnya adalah dikira sah serta memadai. Namun makruh mengutip anak batu dari lubang jamrah, atau dari kawasan tanah halal (seperti Padang ‘Arafah, Jeddah dan Brunei Darussalam) atau dari mana-mana kawasan masjid, atau dari kawasan yang bernajis.

Oleh itu, jika anak batu itu diambil di kawasan Muzdalifah untuk digunakan melontar jamrah al-‘Aqabah pada hari Nahar dan di Wadi Muhassar atau di mana-mana tempat di Mina untuk lontaran pada hari-hari Tasyreeq adalah sunat. Manakala jika anak batu itu diambil dari kawasan luar Tanah Haram atau dari mana-mana tempat kawasan masjid atau dari kawasan yang bernajis pula hukumnya adalah makruh namun lontaran adalah dikira sah dan memadai.

iii. Kedudukan arah melontar: Dari sudut manakah sebenarnya melontar jamrah al-‘Aqabah pada hari Nahar dan di ketiga-tiga jamrah pada hari Tasyreeq itu kerana ada orang beranggapan bahawa boleh melontar tiga jamrah itu dari mana-mana sudut?

Melontar Jamrah al-‘Aqabah pada hari Nahar dan di ketiga-tiga jamrah pada hari-hari Tasyreeq itu adalah berbeza. Ini kerana melontar Jamrah al-‘Aqabah pada hari Nahar itu ialah sebagai penghormatan terhadap Mina dari para jemaah yang baru tiba setelah selesai menunaikan ibadah wuquf di ‘Arafah dan ia adalah lebih afdhal berbanding dengan lontaran pada hari-hari Tasyreeq. Maka layaklah ia dibezakan dengan sifat yang khusus yangmembezakannya dari lontaran yang selepasnya.

• Melontar jamrah al-‘Aqabah pada hari Nahar Apabila para jemaah haji tiba di Mina, hendaklah para jemaah haji tidak melakukan perkara-perkara lain sebelum menunaikan kewajipan melontar jamrah al-‘Aqabah, kerana lontaran tersebut adalah merupakan satu penghormatan terhadap Mina dan lontaran ini dilakukan pada hari Nahar.

Kedudukan cara melakukan lontaran jamrah al-‘Aqabah pada hari Nahar itu sebenarnya mempunyai beberapa pendapat, tetapi menurut pendapat yang shahih dan mukhtar (terpilih) dan turut disokong oleh Imam an-Nawawi Rahimahullahu Ta‘ala, cara yang disunatkan untuk melontar jamrah al-‘Aqabah pada hari Nahar ialah dengan menghadap ke jamrah tersebut dan menjadikan Makkah di sebelah kirinya dan Mina di sebelah kanannya, sebagaimana yang disebutkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari maksudnya:

“Daripada ‘Abdillah Radhiallahu ‘anhu: “Bahawasanya dia sampai ke Jamrah al-Kubra, dia jadikan Baitullah itu di sebelah kirinya, Mina di sebelah kanannya dan dia melontar tujuh kali, lalu diapun berkata: “Demikianlah cara melontar orang yang diturunkan kepadanya surah al-Baqarah (iaitu Nabi) Shallallahu ‘alahi wasallam.” (Hadits riwayat al-Bukhari)


• Melontar tiga jamrah pada hari Tasyreeq Adapun kedudukan cara yang disunatkan bagi melontar di ketiga-tiga jamrah pada hari-hari Tasyreeq itu adalah dengan menghadap ke arah kiblat dan melontarnya dari sebelah kanan.

Begitulah kedudukan cara melontar mengikut cara yang disunatkan. Namun melontar jamrah sama ada pada hari Nahar ataupun pada hari-hari Tasyreeqdari mana-mana sudut itu adalah dikira sah. Ini kerana tidak ada dalil atau pendapat ulama yang melarang ataupun mengatakan lontaran jamrah al-‘Aqabah dan di ketiga-tiga jamrah dari mana-mana sudut itu tidak sah. Sebab, melontar dengan menghadap ke arah jamrah pada hari Nahar dan menghadap ke arah kiblat bagi lontaran pada hari-hari Tasyreeq itu hukumnya adalah sunat. Demikianlah dihuraikan beberapa isu yang berkaitan dengan melontar.

Dalam menunaikan ibadat haji ini adalah penting untuk mengetahui akan hukum-hakam yang berkaitan dengan ibadat haji itu supaya segala amal ibadat ketika menunaikan ibadat haji itu sah dan diterima oleh Allah Subhanahu Wa Ta‘ala. Begitulah juga dengan ibadat melontar ini. Ini kerana menunaikan ibadat haji ini sememangnya bukan perkara yang mudah, kerana ianya memerlukan pengetahuan dan kemampuan, baik dari segi perbelanjaan mahupun kekuatan fizikal.

Oleh itu, dengan adanya pengetahuan mengenai segala hukum yang berkaitan dengan ibadat haji ini maka sudah setentunya kita akan merasa tenteram bahawa ibadat haji yang kita laksanakan akan diterima oleh Allah Subhanahu Wa Ta‘ala dengan mendapat haji yang mabrur sepertimana yang kita harap-harapkan. Maka pastikanlah bahawa menunaikan ibadat haji itu adalah dengan berbekalkan ilmu pengetahuan yang cukup dan mantap.

Post a Comment

0 Comments